Skip to main content
Generic selectors
Exact matches only
Search in title
Search in content
Post Type Selectors

Kod Tatalaku dan Etika Perniagaan


Mesej daripada Ketua Pegawai Eksekutif

Warga Team EcoWorld yang dihormati,

Kejayaan dan reputasi yang telah dibina EcoWorld selama ini bukan sahaja berasaskan kualiti pembangunan yang kami hasilkan, malah turut diperkukuh oleh nilai integriti, profesionalisme dan kebertanggungjawaban yang menjadi pegangan kita dalam setiap tindakan. Nilai-nilai inilah yang telah menyemai kepercayaan pelanggan, rakan perniagaan, pemegang saham, pihak berkuasa dan komuniti yang kita berkhidmat. Menjadi tanggungjawab setiap daripada kita untuk terus memelihara kepercayaan tersebut.

Seiring dengan pertumbuhan EcoWorld yang terus meneroka peluang baharu, menerima pakai teknologi baharu serta menyesuaikan diri dengan perubahan cara bekerja, prinsip yang menjadi panduan kita tetap tidak berubah. Sama ada ketika merancang pembangunan, melayani pelanggan, berurusan dengan rakan perniagaan mahupun bekerjasama sesama warga kerja, cara kita menjalankan amanah adalah sama pentingnya dengan hasil yang dicapai.

Tatakelakuan dan Etika Perniagaan EcoWorld menjadi panduan kepada kita dalam membuat pertimbangan dan keputusan yang betul, mengamalkan tadbir urus yang baik, melindungi maklumat yang diamanahkan kepada kita, menyokong komitmen terhadap amalan perniagaan yang mampan, serta melayan setiap individu dengan adil, bermaruah dan penuh hormat.
Tidak kurang pentingnya, setiap daripada kita juga bertanggungjawab untuk bersuara sekiranya mengetahui atau mengesyaki sebarang perlakuan yang bertentangan dengan nilai-nilai EcoWorld atau peruntukan Kod ini. Dengan menyuarakan kebimbangan secara berhemah dan dengan niat yang baik, kita memperkukuh budaya akauntabiliti serta melindungi integriti dan reputasi organisasi.

Setiap keputusan yang kita buat mencerminkan reputasi EcoWorld. Saya menggalakkan setiap warga Team EcoWorld untuk membaca Kod ini dengan teliti, memahami tanggungjawab masing-masing dan mengamalkan prinsip-prinsipnya dalam tugasan harian. Bersama-sama, kita akan terus memelihara kepercayaan yang telah diberikan kepada kita serta mempertahankan piawaian yang menjadi identiti EcoWorld.

Dato’ Seri Chang Khim Wah
Ketua Pegawai Eksekutif

Kod Tatakelakuan dan Etika Perniagaan

Back to top