Kemampanan adalah teras kepada visi EcoWorld iaitu Membina Hari Esok dan Masa Depan dan merupakan Nilai Teras #1 bagi Jenama EcoWorld. Sebagai pemaju hartanah yang sedar akan cabaran-cabaran alam sekitar, ekonomi dan sosial dalam industri kami, kami komited untuk memacu pembangunan mampan dari aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi kami dan juga dalam komuniti yang kami berkhidmat. Kami berikrar untuk terus berusaha meningkatkan usaha kami (jangka pendek dan jangka panjang) dalam mengembangkan perniagaan secara mampan dan mencipta nilai untuk pihak berkepentingan kami sambil meminimumkan impak kami terhadap alam sekitar dan bertindak secara bertanggungjawab terhadap komuniti di tempat kami beroperasi.
Lembaga Pengarah EcoWorld adalah pihak berkuasa tertinggi ke atas strategi dan tadbir urus kemampanan Kumpulan, dengan menyemak dan meluluskan semua dasar dan inisiatif berkaitan kemampanan. Jawatankuasa Kemampanan, yang terdiri daripada kakitangan pengurusan kanan utama merangkumi semua disiplin dan wilayah operasi, akan membantu Lembaga Pengarah dalam pelaksanaan matlamat dan inisiatif kemampanan, serta melaporkan kemajuan secara setengah tahunan.
Jawatankuasa Kemampanan akan disokong dalam pelaksanaan pelan dan inisiatif berkaitan ESG oleh Majlis Ekonomi & Tadbir Urus, Majlis Operasi & Hijau, dan Majlis Sosial. Ahli-ahli bagi setiap majlis akan dilantik oleh Jawatankuasa Kemampanan, dan bertanggungjawab untuk melaporkan status pelaksanaan inisiatif ESG, serta untuk pengumpulan data yang relevan bagi tujuan pemantauan dan analisis.

Hala Tuju Keseluruhan
Dalam menetapkan strategi dan bidang tumpuan kemampanan EcoWorld, kami dipandu oleh Visi, Misi dan Nilai Teras EcoWorld yang disertakan dalam dasar ini untuk rujukan mudah:
Jenama EcoWorld adalah mengenai usaha mencari cara yang lebih baik dan hebat untuk melengkapkan pengalaman hidup insan. Kami ingin menjadi peneraju pemikiran dan inovator – sebuah perniagaan bukan tradisional dengan impak positif dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar. Kami melangkaui sempadan dalam visi kami iaitu Membina Hari Esok dan Masa Depan.
Untuk menjadi jenama yang kami inginkan, kami akan memanfaatkan kuasa kerjasama positif, tenaga yang bersemangat, dan idea-idea segar yang menggerakkan komuniti, seperti yang digariskan dalam Penyata Misi kami.
Kami akan mencapai Visi kami melalui Budaya Kecemerlangan EcoWorld, dengan memanfaatkan Masa, Bakat dan Sumber kami untuk:
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mentakrifkan pembangunan mampan sebagai “pembangunan yang memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri”. Visi, misi dan nilai teras jenama kami mencerminkan komitmen kami ke arah mencapai agenda pembangunan mampan PBB.
Kami juga berpandukan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang direka oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai “rangka tindakan untuk mencapai masa depan yang lebih baik dan mampan untuk semua”. Kami komited untuk mengambil langkah-langkah positif ke arah pencapaian yang lebih besar bagi matlamat-matlamat yang paling relevan dalam konteks operasi kami dengan harapan usaha kami akan menyumbang kepada pencapaian SDG di peringkat global.
Kami percaya pada semangat keterbukaan dan ketelusan dalam komunikasi dengan pihak berkepentingan kami (termasuk tetapi tidak terhad kepada pekerja, pelanggan, pelabur, pengawal selia, kontraktor & pembekal, media dan pertubuhan bukan kerajaan). Interaksi yang kerap dan mantap dengan pihak berkepentingan melalui pelbagai kaedah komunikasi akan membolehkan kami mengikuti perkembangan keperluan dan jangkaan mereka, serta mengenal pasti bidang-bidang yang paling penting bagi mereka.
Dalam usaha mencapai pembangunan mampan, EcoWorld komited untuk mengambil tindakan yang bertanggungjawab dalam bidang-bidang berikut secara tepat pada masanya:
Tadbir Urus Baik dan Amalan Perniagaan Baik
Kami menjunjung tinggi integriti, tadbir urus yang baik dan tingkah laku beretika dalam semua amalan perniagaan kami untuk mengekalkan kepercayaan pihak berkepentingan dan lesen sosial kami untuk beroperasi. Kami komited untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang berkualiti kepada semua pelanggan dan penduduk di kawasan pembangunan kami. Kami berusaha untuk menjalankan perniagaan kami secara bertanggungjawab, dengan menyebabkan gangguan yang minimum kepada komuniti di sekitar kawasan pembangunan kami. Kami berikrar untuk menjalankan perniagaan kami selaras dengan undang-undang dan peraturan terpakai yang mengikat kami. Sekiranya berlaku sebarang kekurangan, kami akan mengambil tindakan pemulihan yang perlu dan wajar secepat mungkin dan dalam tempoh masa yang munasabah.
Mempamerkan Amalan Pekerjaan Teladan & Melindungi Hak Asasi Manusia
Kami akan menyediakan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan mempunyai peluang sama rata untuk pekerja kami dan kami berinteraksi secara positif dengan rakan kongsi rantaian bekalan kami untuk menggalakkan dan memberi insentif kepada mereka untuk melakukan perkara yang sama. Kami komited untuk memastikan bahawa piawaian buruh yang sewajarnya akan diguna pakai dan pekerja kami akan menerima gaji / upah yang adil untuk waktu kerja yang adil. Pekerja kami akan menerima akses yang sama kepada program latihan dan pembangunan serta peluang untuk pertumbuhan kerjaya. Kami akan menyediakan (dan terus menambah baik) prosedur dan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan untuk memastikan keselamatan semua yang berada di premis perniagaan kami.
Kami akan berusaha untuk menegakkan hak asasi manusia pekerja dan komuniti kami. Kami menentang sekeras-kerasnya amalan seperti buruh kanak-kanak dan buruh paksa. Diskriminasi (berkaitan bangsa, agama, jantina, umur, ketidakupayaan, kewarganegaraan, dll.), buli dan gangguan juga tidak akan diterima sama sekali.
Menangani Perubahan Iklim & Melindungi Biodiversiti dan Alam Sekitar
Kami komited untuk beroperasi secara bertanggungjawab dan memelihara alam sekitar. Kami mengakui impak negatif perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan kemerosotan alam sekitar yang mengakibatkan pemanasan global. Dengan ini, kami akan berusaha untuk menilai dan mengawal pelepasan gas rumah hijau, pencemaran dan penghasilan sisa kami. Kami juga akan memantau dan memulihara (jika boleh) penggunaan tenaga, air dan sumber, serta menggalakkan kitar semula dan guna semula di mana-mana yang praktikal.
Melalui Dasar Perolehan Mampan kami, kami berusaha untuk bekerjasama dengan rakan kongsi rantaian bekalan yang mempertimbangkan isu-isu alam sekitar dalam perniagaan harian mereka dan menggalakkan mereka untuk menyediakan penyelesaian, bahan dan barangan yang mampan dan mesra alam. Keutamaan diberikan kepada pembelian barangan yang dihasilkan dengan mengambil kira isu-isu alam sekitar dan sosial serta kepada rakan kongsi rantaian bekalan yang proaktif dalam menjaga dan memulihara alam sekitar. Ini terpakai kepada semua rakan kongsi rantaian bekalan kami, yang termasuk tetapi tidak terhad kepada kontraktor, perunding, pembekal, vendor, pengeluar produk dan pengedar produk, sambil kami bekerjasama dengan mereka untuk mengurangkan beban alam sekitar secara progresif dalam keseluruhan rantaian bekalan kami.
Melalui kerjasama kami dengan pihak berkepentingan dalaman dan luaran, pendidikan dan kesedaran berterusan mengenai metrik perubahan iklim (terutamanya dalam penetapan Sasaran Berasaskan Sains), dan komitmen daripada kepimpinan kanan kami, kami berhasrat untuk berusaha ke arah masa depan Karbon Sifar Bersih.
Menyokong Komuniti
Kami mengakui peranan kami sebagai warga korporat yang baik dalam bertanggungjawab terhadap komuniti di sekeliling kami. Kami komited untuk berinteraksi dengan komuniti di dalam dan di sekitar kawasan pembangunan kami serta menyokong mereka dengan menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk pembangunan ekonomi dan sosial serta peluang pekerjaan. Melalui Yayasan Eco World, kami juga komited untuk menyediakan akses yang sama kepada pendidikan untuk kanak-kanak dari latar belakang yang kurang bernasib baik dengan harapan dapat meningkatkan taraf kewangan dan sosial keluarga di bawah jagaan kami.
Berikut adalah prosedur yang akan dilaksanakan oleh EcoWorld untuk memastikan strategi kemampanan pilihan kami dijalankan dengan berkesan:
Untuk mengukur prestasi kemampanan kami dan menjejaki kemajuan, kami telah merumuskan penunjuk prestasi utama (KPI) khusus berdasarkan matlamat dan sasaran operasi, yang akan terus ditambah baik pada masa hadapan. Sambil kami maju dalam perjalanan kemampanan kami, kami menyasarkan untuk terus meningkatkan usaha kami dalam menyumbang kepada penubuhan masyarakat yang mampan. Sehubungan itu, Dasar Kemampanan ini tertakluk kepada semakan dan pindaan berterusan jika perlu bagi mencerminkan komitmen Kumpulan terhadap penambahbaikan berterusan.