Dasar Perubahan Iklim Eco World Development Group Berhad
Eco World Development Group Berhad (“EcoWorld Malaysia” atau “EcoWorld”), anak-anak syarikat dan syarikat-syarikat usaha samanya (“Kumpulan”) mengiktiraf risiko-risiko yang disebabkan oleh perubahan iklim dan kesannya terhadap kelestarian perniagaan kami. Oleh itu, kami berdedikasi untuk mempercepat inisiatif-inisiatif perubahan iklim dalam operasi kami. Dasar Perubahan Iklim (“Dasar”) ini digubal untuk membimbing Kumpulan mengintegrasikan tindakan iklim secara berkesan ke dalam operasi perniagaan kami, yang menyokong visi kami iaitu Membina Hari Esok & Masa Depan (Creating Tomorrow and Beyond) dan komitmen kami untuk menerapkan Reka Bentuk, Alam Semula Jadi dan Seni (Design, Nature and Art atau “DNA”) secara holistik ke dalam semua pembangunan projek kami.
Dasar ini terpakai kepada semua pekerja dan kakitangan yang berkhidmat dengan EcoWorld dan Kumpulan. Ia merangkumi seluruh rantaian nilai kami, justeru kami menyeru semua pihak yang berkaitan untuk mematuhi Dasar ini serta prinsip-prinsip yang termaktub di dalamnya dengan tekun.
Jenama ini adalah tentang usaha mencari kaedah yang lebih baik dan hebat untuk melengkapkan pengalaman hidup insan. Kami berusaha untuk menjadi peneraju pemikiran dan inovator – sebuah perniagaan bukan tradisional dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar yang positif sambil kami terus menerobos sempadan dalam usaha.
Dasar ini terdiri daripada dua teras strategik yang merangkumi adaptasi terhadap dan mitigasi perubahan iklim:
Adaptasi perubahan iklim merujuk kepada proses bertindak balas secara proaktif dan berkesan terhadap impak dan risiko yang berkaitan dengan perubahan iklim. Melalui adaptasi, kami berhasrat untuk melaksanakan amalan tadbir urus iklim yang mantap bagi mengekalkan daya tahan jangka panjang Kumpulan dan mengoptimumkan prestasi dalam menghadapi keadaan iklim yang berubah-ubah.
Mitigasi perubahan iklim merangkumi tindakan-tindakan Kumpulan untuk mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau (“GHG”) yang menyumbang kepada usaha mitigasi perubahan iklim di peringkat kebangsaan dan global. Kami berhasrat untuk menyelaraskan aktiviti-aktiviti Kumpulan kami dengan peralihan kepada ekonomi rendah karbon dan mengehadkan impak keseluruhan operasi kami terhadap perubahan iklim.
.