Menu

13/06/2015

Misi Bantuan Banjir Pantai Timur EcoWorld

MANEK URAI LAMA: Sejak banjir yang melanda Negeri Kelantan pada bulan Disember tahun lalu, EcoWorld dengan aktifnya telah menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Kelantan yang telah terjejas akibat bencana tersebut.

Bantuan pertama yang diberikan termasuk pembersihan dua buah sekolah – SJKC Yuk Chai di Kuala Krai and SJKC Chung Hwa di Temangan, Machang. Ini diikuti dengan sumbangan barangan makanan dan keperluan harian kepada 110 buah keluarga di persekitaran Kuala Krai, Batu Pagar, Kampung Dusun Bunut, Kampung Dusun Saih, Kampung Lasar, dan juga kampung-kampung yang berdekatan dengan Temangan.Â

Setakat bulan Mei 2015 ini, sejumlah tujuh Misi Bantuan Banjir Pantai Timur telah dilaksanakan, melibatkan seramai 150 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan EcoWorld.

“Sejak Pantai Timur dilanda banjir, pasukan EcoWorld telah tampil ke hadapan dan memberi sumbangan ikhlas menjangkau lebih daripada RM80,000. Ini dilakukan melalui dua kutipan spontan di pejabat-pejabat EcoWorld di Lembah Kelang, Johor Bahru dan Pulau Pinang,” kata Tan Sri Radzi Bin Sheikh Ahmad, Pemegang Amanah Yayasan Eco World.

Radzi mengeluarkan kenyataan tersebut ketika menghadiri Majlis Kesyukuran & Menyambut Ramadhan di Kampung Manek Urai Lama yang sebuah lagi lokasi yang telah mendapat bantuan kemanusiaan daripada EcoWorld.

Menurut beliau, keprihatinan kakitangan EcoWorld jelas terbukti ketika kutipan untuk jamuan Hari Krismas tahun lalu di pejabat Johor Bahru di mana kakitangan EcoWorld telah mengambil keputusan untuk menyumbangkan wang kutipan tersebut sebagai bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan. Tindakan tersebut seterusnya mencetuskan satu tindakbalas rantai di mana kakitangan daripada pejabat-pejabat lain turut menyalurkan sumbangan ikhlas mereka.

“Salah satu misi EcoWorld ialah untuk menjadi sebuah syarikat yang prihatin dan bertanggungjawab – sentiasa bersedia untuk menyumbang semula kepada masyarakat. Kami bernasib baik mendapat peluang sedemikian untuk membantu penduduk di Kampung Manek Urai Lama,” kata Dato’ Chang Khim Wah, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld.

“Misi bantuan banjir ini juga telah memupuk semangat kerjasama di antara kakitangan syarikat yang kini mempunyai hubungan yang lebih erat dan semangat saling bantu membantu yang telah dipupuk melalui aktiviti ini,” tambah Chang.

Kesemua Misi Bantuan Banjir Pantai Timur telah diketuai oleh Datin Natrah Abdullah, Pengurus Besar Jabatan Perhubungan Awam, dengan bimbingan dan tunjuk ajar dari Malaysia Elite Disaster Rescue Forces (MEDRF) ataupun lebih dikenali sebagai Tango Team, yang diketuai oleh Saudara Thomas Foo.

Bantuan yang dihulurkan kepada Kampung Manek Urai merangkumi enam buah rumah kabin yang disumbangkan oleh kakitangan EcoWorld. Salah sebuah kabin tersebut telah diubah suai untuk berfungsi sebagai klinik sementara di mana pegawai sukarelawan perubatan memberi rawatan serta nasihat kesihatan kepada penduduk Manek Urai yang memerlukan bantuan. Selain itu, 140 keluarga di Manek Urai Lama mendapat bantuan makanan dan keperluan asas selama tiga bulan sejak Mac.

“Adalah menjadi harapan kami semoga bantuan ini dapat memberikan penduduk kampung semangat baru untuk meneruskan dan membina semula kehidupan di masa hadapan,” Chang berkata.

Radzi berkata Majlis Kesyukuran hari ini yang dihadiri lebih daripada 1,000 penduduk kampung Manek Urai merupakan penutup tirai bagi kerja-kerja amal sukarelawan EcoWorld.

“Keluarga EcoWorld bersyukur dapat melangsungkan majlis ini sebelum permulaan bulan Ramadhan.”

Untuk menjayakan majlis tersebut, urusetia telah membuat perancangan sejak tiga bulan yang lalu untuk membuat persiapan menyeluruh bagi menyambut kesemua penduduk Kampung Manek Urai yang telah dijemput ke Majlis Kesyukuran dan Menyambut Ramadhan ini. Sumbangan barangan menyambut Hari Raya juga telah disampaikan kepada penduduk kampung pada majlis ini. Sebuah sudut yang mengandungi pameran gambar-gambar misi bantuan banjir Pantai Timur juga telah didirikan untuk memperingati segala kenangan bersama kakitangan EcoWorld dan penduduk Manek Urai.

Radzi juga turut memberi penghargaan kepada pasukan EcoWorld yang telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti untuk menjayakan misi ini. Di antaranya termasuklah usaha mengumpul dana daripada pelbagai sumber termasuk sumbangan dalaman dari kakitangan EcoWorld dan sumbangan dari luar dalam bentuk makanan tersenarai yang disumbangkan oleh pembeli-pembeli rumah EcoWorld.

Di samping itu, EcoWorld juga mendapat sumbangan permainan kanak-kanak, perabot, buku-buku dan pakaian yang telah didermakan oleh tadika-tadika dan orang ramai. Untuk memastikan semua sumbangan yang diberikan adalah bersesuaian dan berada dalam keadaan baik, kakitangan EcoWorld telah menjalankan proses pemilihan dan penapisan yang menyeluruh untuk menganalisa kesesuaian kesemua barangan tersebut di pejabat sebelum penghantaran ke Kelantan dilaksanakan.

Selain daripada misi bantuan banjir ini, Yayasan EcoWorld juga telah mendermakan sebanyak RM150,000 kepada Tabung Bencana NSTP – Media Prima dan Yayasan Wilayah Persekutuan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan pada awal tahun ini.