Press Releases

MISI BANTUAN BANJIR PANTAI TIMUR ECOWORLD 2016

author04 13/11/2016

Manek Urai: Hampir dua tahun telah berlalu sejak banjir besar melanda Pantai Timur Malaysia yang menyaksikan sukarelawan dari Eco World Development Group Berhad [EcoWorld] menghulurkan bantuan kepada penduduk Kampung Manek Urai Lama dan kawasan persekitarannya.

Namun demikian, sukarelawan EcoWorld terus memantau keadaan penduduk-penduduk kampung dengan beberapa lawatan ringkas ke Manek Urai. Pada 30 September, sukarelawan EcoWorld yang melawat Kampung Manek Urai Lama mendapati bahawa satu keluarga dengan 13 orang ahli masih bertempat di sebuah rumah kabin yang disumbangkan oleh kakitangan EcoWorld dari Iskandar Malaysia hampir dua tahun lalu.

Setelah melihat keadaan tersebut, EcoWorld membuat keputusan untuk menderma satu lagi rumah kabin kepada keluarga Raja Kecil agar mereka lebih selesa.

Pada 11 Nov, seramai 40 sukarelawan EcoWorld menyertai Misi Bantuan Banjir Pantai Timur EcoWorld 2016 selama tiga hari dua malam. Selain daripada membina sebuah lagi rumah kabin sementara sumbangan kakitangan EcoWorld dari Iskandar Malaysia, sukarelawan EcoWorld juga telah menjalankan aktiviti amal bersama GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (Giant Store). Sebanyak 200 beg barangan makanan bernilai RM40 yang mengandungi minyak masak, beras 5kg, tin sardin, gula, garam, dan tepung telah diedarkan kepada penduduk-penduduk kampung.

Majlis penyerahan rumah kabin telah dirasmikan oleh Tan Sri Radzi Bin Sheikh Ahmad, Pemegang Amanah Yayasan Eco World bersama Dato’ Chang Khim Wah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Development Group Berhad yang turut hadir.

“Selama dua tahun ini, kami berasa amat bangga dengan dedikasi kakitangan EcoWorld yang tiap kali memberi sokongan penuh menjalankan kerja-kerja amal sebegini. Sejak Misi Bantuan Banjir Pantai Timur dimulakan, lebih dari 150 kakitangan EcoWorld telah mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang dijadualkan,” kata Tan Sri Radzi.

Sebagai sebuah syarikat pemaju yang baru berusia tiga tahun, EcoWorld telah mencapai beberapa kejayaan dalam aktiviti-aktiviti amal yang dijalankan sepanjang tahun yang melibatkan kakitangan EcoWorld yang sudi meluangkan masa di atas tugasan harian mereka untuk kerja amal.

“EcoWorld merupakan sebuah organisasi yang prihatin dan bertanggungjawab. Kami saling menggalakkan kakitangan menyertai aktiviti amal dan berharap dapat menjadi contoh yang baik kepada syarikat lain,” Chang berkata.

Keprihatinan kakitangan EcoWorld jelas terbukti ketika kutipan untuk jamuan Hari Krismas dijalankan oleh kakitangan EcoWorld di Iskandar Malaysia dua tahun lalu. Pada masa itu, banjir besar melanda Pantai Timur Malaysia dan kakitangan EcoWorld dari Iskandar Malaysia membuat keputusan untuk menderma wang kutipan tersebut sebagai bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan. Tindakan tersbut seterusnya mencetuskan satu tindakbalas rantai di mana kakitangan dari pejabat-pejabat lain turut menyalurkan sumbangan ikhlas mereka.

Dengan spontannya kutipan dari kakitangan EcoWorld menjangkau RM80,000 dan telah digunakan untuk Program Makanan dan Keperluan Asas kepada 140 keluarga mangsa banjir Kampung Manek Urai Lama dari bulan Mac hingga Jun 2015. Selain itu, sebanyak lima buah rumah kabin dan sebuah klinik sementara bernilai RM8,000 setiap satu telah disumbangkan oleh beberapa individu dari pengurusan EcoWorld.

“Misi Bantuan Banjir Pantai Timur EcoWorld bukan sahaja berjaya memupuk semangat kerjasama di antara kakitangan syarikat malah ia telah mengeratkan hubungan antara kakitangan,” Chang berkata. Perhubungan yang lebih erat dan persefahaman antara kakitangan syarikat amat penting dalam tugasan harian kerana sebarang kerja dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan sempurna.

Chang berkata EcoWorld juga berasa bangga kerana Misi Bantuan Banjir Pantai Timur EcoWorld telah menggalakkan penduduk kampung berdikari selepas bencana banjir. Ada yang telah memulakan bisnes kecil dengan rumah kabin mereka.

Selain itu, dengan kerjasama dari Skuad Bantuan Bencana 4X4 Pasukan Tango, Projek “Dokong Emas Kelate” telah dianjurkan untuk menjual buah dokong kepada orang awam. Wang dana yang dikumpul akan digunakan untuk membina semula kediaman mangsa banjir.

“Adalah harapan kami untuk melihat penduduk Kampung Manek Urai berdikari menyara hidup sendiri dengan sumbangan yang telah diberikan oleh EcoWorld,” kata Chang.